Dia Teristimewa

Kugayakan kemeja yang dibeli beberapa minggu lepas seperti iklan syampu rambut lelaki, Clear, untuk dipadankan dengan seluar. Hitam nampak kemas, hitam itu bergaya, nama saya Rain. Haha, suka betul dengan iklan tu. Lepas puas bergaya, keputusan dibuat untuk kenakan kemeja outfit biru gelap Dapper dengan seluar jeans biru Levi’s.

Seawal 5 pagi kutersedar dari mimpi. Bas ke Kuala Lumpur bertolak pukul 8 pagi dari Batu Pahat. Seakan-akan tidak sabar untuk bertemu dengan si dia. Hati ini berdegup sekata, rasa rindu kian membara, diri ini segera ingin bertemu si dia. Walaupun baru berjumpa si dia beberapa minggu yang lepas di kampung, tapi peluang ini amat jarang ada, peluang berdua bersamanya. Inilah kali kedua kami keluar bersama. Selalunya kami sentiasa ditemani adik-adiknya. Paling tidak, kami berjumpa di rumahnya dengan ditemani abah dan mamanya. Keadaan sebegitu tidak sedikit pun merimaskanku. Kerana kutahu, itulah peluang untuk bergaul lebih rapat dengan keluarganya. Setiap kali berjumpa, pasti mereka ada bersama. Terasa seperti diriku sebahagian daripada keluarganya. Kadang-kala mereka memberi ruang kepada kami untuk bersendirian. Amat beruntung mempunyai keluarga yang amat memahami.

Bas KKKL bertolak tepat 8 pagi. Badanku menggigil kesejukan dek penghawa dingin bas tersebut. Kulihat ramai penumpang turut sama kesejukan dengan penghawa dingin yang sejuk melampau. Ingin saja kumenegur pemandu bas untuk perlahankan penghawa dingin, tapi kaki ini berat melangkah. Terasa diri seperti ikan di dalam peti ais. Baju dua lapis yang kupakai tidak cukup untuk memanaskan diriku. Kualihkan pemikiran sejuk badanku terhadap si dia. Kufikirkan detik-detik istimewa kami nanti, moga-moga rasa sejuk yang kualami hilang.

40 minit perjalanan, kepalaku mula terasa pening. Mungkin pening kerana terlalu sejuk. Mungkin pening kerana pewangi bermasa dalam bas tersebut yang tidak kena dengan selera hidungku. Mungkin juga kerana sudah lama tidak naik bas. Kadang-kadang rasa mual, terasa ingin muntah. Tapi kutahan dengan menarik nafas sedalam yang boleh. Perjalanan tiga jam setengah betul-betul menyeksakanku. Lebih rela memandu kereta sendiri. Biarlah berhabis banyak duit minyak daripada keadaan yang sangat tidak menyenangkan.

Di hentian Puduraya ku mencari si dia yang telah tiba 15 minit lebih awal. Di tengah-tengah hiruk-pikuk manusia yang sibuk dengan urusan masing-masing, pandanganku gagal menemuinya. Telefon bimbit ditekan untuk bertanyakan di mana dia berada. Sedang kami berbual sambil mencari, tiba-tiba suaranya membisu. Rasa risau muncul di hati. Tak lama kemudian kelihatan si dia berjalan ke arahku dari depan. Nakal betul dia di awal-awal pertemuan kami. Betul-betul buatkanku rasa gelisah takut-takut ada apa-apa yang berlaku terhadapnya. Hatiku rasa riang melihat wajahnya yang manis dan berseri dengan baju biru seakan Punjabi, bertudung putih dan berseluar cokelat muda. Kaca mata barunya juga cantik, menyerikan lagi wajahnya yang sedia berseri. Terasa seperti hilang semua manusia di Puduraya. Yang ada hanyalah diriku dan dirinya. Detik yang kurasa ini sama seperti pertemuan pertama kali kami di KL Central dua tahun tujuh bulan yang lalu.

Kami menuju ke Taman Tasik Titiwangsa untuk merasa pengalaman menaiki Eye On Malaysia yang dibangga-banggakan itu. Sebelum menaiki EOM, kami duduk berbual menghadap tasik sambil bermain teka-teki. Banyak teka-teki yang diberikannya, semua tidak dapat kujawab. Kelihatan dia berpuas hati kerana dapat berikan teka-teki yang susah untuk kujawab. Senang kulihat bila dia tersenyum dan tergelak kecil. Rasa peningku tadi makin berkurangan. Kusampaikan berita pertama kepadanya tentang majlis pertunangan kami pada tahun ni mungkin tidak dapat dibuat kerana ibuku akan menunaikan ibadah Haji bersamaku pada hujung tahun ini sekiranya jadi. Pesan ibuku sebelum ini, kalau nak bertunang atau berkahwin tunggulah selepas naik Haji. Sedikit mengecewakanku tapi tidak mengapa. Itu juga keputusan yang baik oleh ibuku.

Kemudian kami makan tengah hari bersama di sebuah gerai makan berhampiran. Kami memesan makanan yang sama; nasi goreng biasa dan orange blended. Dia berikanku udang yang terdapat dalam nasi goreng kerana dia alah dengan makanan laut. Sambil makan, kusampaikan berita kedua kepadanya tentang diriku yang tidak dapat ke pertandingan badminton dalam Majlis Sukan-Sukan Universiti Malaysia (MASUM) di Universiti Malaysia Sabah. Kawanku yang terpilih untuk mewakili UTHM nanti. Si dia mengerti akan kekecewaanku dan cuba berikanku semangat.

Selesai makan, kami menunaikan solat di surau berdekatan. Surau kayu yang hanya boleh muat dalam 6 orang sekali jemaah itu agak selesa. Tapi sangat tidak patut bagi surau perempuan yang tempat mengambil wuduknya agak terbuka walaupun dilindungi dinding setinggi leher. Menyukarkan bagi orang yang bertudung untuk mengambil air sembahyang. Mujurlah si dia masih lagi dalam keadaan berwuduk. Bertuah kurasa dengan dirinya yang sentiasa jaga wuduknya. Mungkin itulah penyeri wajahnya selama ini.

Lebih kurang 2:30 petang kami menaiki EOM. Tidak ramai yang menaiki roda gergasi tertinggi di Malaysia pada waktu itu. Bayaran RM15 seorang untuk dewasa tidaklah begitu mahal rasanya untuk melihat pemandangan sejauh 20km sekelilingnya pada ketinggian 60 meter. Perasaanku sangat gembira dapat menaikinya bersama orang tersayang. Pengalaman yang sangat jarang kualami, begitu juga si dia. Pada ketinggian 60 meter kepalaku kembali rasa pening. Mungkin ada sedikit raya gayat. Si dia tak henti-henti nasihatkanku supaya tidak memandang ke bawah. Dirinya menjadi risau bila melihat kumemicit kepala yang pening. Ingin sahaja dia picit kepalaku katanya, tapi masih dibatasi dengan hukum bukan mahram. Sejuk hatiku bila mendengarnya.

Kami berehat seketika sambil menikmati minuman Ice Choc with Cream di Secret Recipe di bahagian luar Sogo. Kami berbual-bual dan bergurau-senda sambil melihat kehidupan manusia di Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk. Kepalaku masih lagi pening sedikit, tidak dapat untukku meluangkan masa lebih baik dengannya. Sedikit kecewa dengan diriku tapi si dia tidak kisah. Katanya dapat berjumpa pun sudah membuatkan hati rasa gembira.

Seketika menunggu si dia siap menunaikan solat Asar, kuterlihat penyanyi Awie bersama isteri dan anaknya di kedai membaiki kasut dan membuat kunci di depanku di tingkat bawah Sogo. Ingin kumenegur dan bersalam sebagai tanda minat sangat dengan lagu-lagunya. Tapi takut dikatakan menganggu mereka sekeluarga. Artis juga perlukan masa untuk bebas daripada peminat dan luangkan masa dengan keluarga. Kuhanya melihat Awie dengan gaya rambutnya yang sama dengan gaya rambut isterinya itu berlalu di depanku. Tidak lama kemudian si dia muncul kembali. Makin berseri kulihat wajahnya. Kalaulah wajah berseri ini telah menjadi isteriku yang sah…

Kumelihat jam tanganku, 5:30 petang. Kutanyakan pukul berapa jam tangannya, juga 5:30 petang. Kuharap jam tanganku cepat beberapa minit, kerana kuingin bersama dengannya lebih lama. Bas ke Batu Pahat bertolak pukul 6:30 petang dari Puduraya. Si dia membawaku ke McDonalds Sogo dan belikanku Big Mac untuk bekal makan malam di dalam bas. Kemudian kami bergegas ke Puduraya, takut terlewat menaiki bas.

Setibanya di Puduraya, masih ada setengah jam sebelum bertolak balik. Kami singgah di kedai buku-buku Islam untuk melihat buku-buku yang menarik. Banyak buku yang berguna seperti buku-buku untuk isteri, suami, keluarga bahagia, yang kami harus beli suatu hari nanti. Mataku tertumpu kepada beberapa orang di luar kedai tersebut. Mereka melihat kami seperti ada tanda kehairanan pada riak wajah mereka. Mungkin kerana hanya kami yang berada di dalam kedai sedemikian, bukan di tempat-tempat yang selalu menjadi kunjungan remaja lain.

6:20 tepat pada jam tanganku. Si dia menemaniku ke Platform 9. Saat sedih kini sudah tiba. Seboleh-bolehnya ingin sahaja kubersama dengannya lagi, tapi itu adalah mustahil. Walaupun suasana sedih menyelubungi kami, tapi kami terpaksa menghadapinya. Kubisikkan sesuatu ke telinganya sebelum melangkah naik bas Transnasional. Setelah kududuk di kerusiku, mataku meliar mencari-cari si dia tapi tiada. Mesej dihantar kepadanya, katanya si dia telah ke stesen LRT. Masih lagi seperti dulu, kami tidak sanggup melihat antara satu sama lain pada saat-saat sebegini. Segera pulang adalah lebih baik daripada melihat kekasih hati berlalu pergi.

Sepanjang perjalanan pulang, kuhanya memikirkan si dia. Rindu makin menebal bila jarak makin jauh terpisah. Panas terik, orang ramai, hujan lebat, semuanya langsung tak kuhiraukan. Apa yang ingin kurasa adalah bersama dengannya. Menemaniku, atau menemani dirinya ke mana sahaja. Rasa tenang bila disampingnya. Rasa sejuk bila memandang wajahnya. Mungkinkah ada pertemuan sebegini lagi di masa akan datang?

RSS feed | Trackback URI

12 Comments »

Comment by mixterr
2008-01-14 00:09:07

smart bai page ni.. blog baru erk.. amirez.com ade lagi ke?

 
Comment by qider
2008-01-14 09:00:55

chaiyok2 adi,sabo je..insyaAllah moga Dia percepatkan..nanti jgn lupa jemput aku (kenurik nanti..tau tau tau)

 
Comment by Adi
2008-01-14 15:07:31

mixterr >> a’a baru. utk melalut ntahpape kat sini eheh. amirez.com tetap wujud cuma tema dh ditukar kpd info

 
Comment by Adi
2008-01-14 15:08:42

qider >> insyaAllah. akan kujemput member2 ms kenurik nati ;)

 
Comment by Hannah
2008-05-03 23:58:17

salam.i dunno why i suddenly stumbled onto ur page.i like ur love story.pure.ure lucky to get her, hopefully, really get her.Semoga Allah merahmati hubungan kalian.

 
Comment by Adi
2008-05-04 02:18:18

thx Hannah. bila baca balik rs kelakar pulak olahan cerita ni. ada ms nati nak edit2 mana yg patut. thx Hannah doa tu. insyaAllah :8
Adis last blog post..Sepetang di Kuala Lumpur

 
Comment by Kak Anor
2008-05-07 17:08:59

semoga berbahagia selamanya. 1st time baca.. ada lg org lelaki yg baik cam awak ye. :sweat:

 
Comment by Adi
2008-05-07 17:45:01

trima kasih kak. masih ramai lg yg lebih baik drp sy. sy cuma buat apa yg termampu sy buat huhu

Adis last blog post..Hantu Kawan

 
Comment by aNiS
2008-05-11 12:56:02

hehe die memang baeeeekkk :love:
aNiSs last blog post..Kahwin Orang miskin & Kahwin Orang Kaya

 
Comment by Adi
2008-05-11 16:17:16

alhamdulillah

Adis last blog post..Hantu Kawan

 
Comment by umiraudhah
2008-07-06 13:12:25

Kalau inginkan perhubungan yang betu-betul diredhai Allah, jagalah batas hubungan.Mana boleh keluar berdua…

Comment by Adi
2008-07-06 17:21:53

syukran umiraudhah igtkan kami.
walaupun kami keluar berdua di tmpt org ramai,
tp sy pernah jugak terfikir adakah hubungan mcm tu betul2 diredhai Allah. insyaAllah, kami cuba perbaiki :)
Adis last blog post..Sepanyol Juara Euro 2008

 
 
Name (required)
E-mail (required - never shown publicly)
URI
Your Comment (smaller size | larger size)
You may use <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong> in your comment.
:p 8) :lol: =( :8 ;) :(( :o: :[ :) :D :-| :-[) :bloody: :cool: :choler: :love: :oups: :aie: :beurk: :canny: :go: :miam: :neo: :ueue: :nose: :oh: :oups2: :prud: :yo: :sadd: :bloody2: :cache: :rose: :spd: :dream: :sure: :yes: :sweat: :kiss: :creve: :what: :pff: :hm: :bobo: :aie2: :aie3: :ciao: :dribble: :gene:

Trackback responses to this post